Understanding Islamic Finance
PERKEMBANGAN sistem ekonomi dan kewangan Islam di negara ini memang cukup membanggakan sehingga ia mendapat pengiktirafan di seluruh dunia.
Malangnya, perkembangan pesat itu tidak seiring dengan kefahaman umat Islam Malaysia yang sebahagian besar masih 'jahil' mengenai pengurusan kewangan yang mematuhi prinsip syariah, khususnya membabitkan pinjaman peribadi.
Hakikat mengejutkan itu didedahkan melalui satu kajian oleh dua pegawai penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman dan Azrina Sobian yang diterbitkan pada tahun lalu.
Pada sesi temu ramah dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Siti Fatimah yang juga Pengarah Pusat Perundingan dan Latihan IKIM memberitahu, kebanyakan umat Islam membuat pinjaman peribadi dengan nilai lebih daripada RM20,000 untuk perkara yang dianggap bukan keperluan oleh Islam.
''Dalam Islam, hutang dibenarkan untuk tujuan tertentu misalnya apabila atap rumah diterbangkan ribut dan kita tiada wang untuk menggantikan yang baru. Ia juga dibolehkan bagi membayar kos rawatan perubatan, modal perniagaan dan melanjutkan pelajaran.
''Pinjaman peribadi tidak boleh dibuat untuk perkara bukan keperluan seperti membeli perabot baru pada hari raya, melancong atau bagi perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam seperti berjudi,'' jelas beliau.
Katanya, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati sebahagian besar responden mengakui membuat pinjaman peribadi untuk membayar pendahuluan membeli kenderaan.
''Ini tidak dianggap sebagai satu keperluan dalam Islam kerana kalau tiada wang pendahuluan untuk membeli kereta yang mahal, umat Islam masih boleh membeli kereta murah yang tidak memerlukan bayaran pendahuluan yang banyak.
''Mereka juga mempunyai alternatif lain untuk membeli motosikal atau menaiki pengangkutan awam sahaja,'' katanya.
Tambah beliau, majoriti responden berpendapat pinjaman peribadi patut digalakkan dan pandangan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang tidak menggalakkan seseorang itu berhutang kerana ia akan meletakkan para penghutang dalam keadaan tidak tenteram.
Katanya, pihaknya juga terkejut kerana majoriti responden tidak mengambil kira jumlah sebenar yang perlu dilangsaikan termasuk kadar faedah yang dikenakan, sebaliknya hanya melihat adakah diri masing-masing mampu membayar balik setiap bulan.
Jelas beliau, kebanyakan responden lebih tertarik untuk membuat pinjaman peribadi berasaskan prinsip syariah yang ditawarkan oleh institusi kewangan konvensional berikutan mutu perkhidmatan yang ditawarkan dan bukannya yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam sepenuhnya.
Dalam pada itu, Siti Fatimah memberitahu, kajian itu turut melibatkan pinjaman peribadi tidak formal daripada ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan dengan nilai pinjaman antara RM500 hingga RM2,000.
Ujar beliau, majoriti pinjaman menerusi cara itu tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Islam iaitu perlunya ada saksi dan mencatatkan butir-butir hutang berkenaan termasuk jumlahnya, bila hendak dibayar dan berapa banyak perlu dibayar balik.
Katanya, kajian itu juga mendapati 64 peratus responden yang meminjam secara tidak formal berbuat demikian pada masa kecemasan.
''Ia adalah satu trend yang membimbangkan kerana mereka jelas sekali tidak mempunyai tabungan untuk dijadikan payung ketika kesusahan.
''Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang mensyaratkan penganutnya membahagikan pendapatan bulanan kepada tiga tujuan iaitu tabungan, sedekah dan perbelanjaan,'' katanya.
Sementara itu, Azrina yang merupakan Felo Pusat Sains dan Teknologi IKIM pula mendedahkan bahawa majoriti responden turut terjebak berhutang menerusi penggunaan kad kredit dengan masing-masing mempunyai satu atau dua kad.
Menurut beliau, perkara itu terjadi berikutan kad kredit mudah diperoleh dengan had kelayakan gaji hanya RM1,500 sebulan.
''Kita tertanya-tanya mampukah mereka membayar balik sedangkan kita tahu bahawa kadar cajnya sangat tinggi iaitu sekitar 18 peratus dan sampai bilakah hutang ini akan habis dibayar berikutan separuh daripada responden hanya membayar kadar bayaran minimum setiap bulan,'' katanya.
Bagi memastikan, fenomena itu tidak berterusan, Azrina mencadangkan, had kelayakan untuk memperoleh kad kredit ditingkatkan kepada minimum RM3,000 sebulan dan umat Islam merujuknya sebagai 'kad hutang' bagi mewujudkan persepsi negatif dan mengelak mereka berterusan menggunakan kemudahan berkenaan.
Berdasarkan kajian yang melibatkan 131 responden, kedua-dua mereka telah menggariskan beberapa langkah bagi memastikan kejahilan umat Islam itu tidak berterusan termasuk mendedahkan pelajar di sekolah rendah dan menengah mengenai kemahiran pengurusan kewangan berlandaskan Syariah.
Ibu bapa juga harus mengajar anak-anak mereka khususnya yang mula memegang wang dalam jumlah banyak ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengurus kewangan mereka secara berhemah.
Tambah mereka, di peringkat komuniti setempat termasuk pihak masjid harus mengadakan sesi ceramah bagi menerangkan keburukan tabiat suka berhutang dan perlunya umat Islam mempelajari pengurusan kewangan secara betul.
Maklumat lanjut mengenai hasil kajian itu boleh diperoleh dalam buku 130 halaman bertajuk Pinjaman Peribadi: Hasil Kajian Terhadap Masyarakat Malaysia yang diterbitkan oleh IKIM.
Buku berharga RM20 senaskhah itu boleh dibeli dengan melayari Rakan Baca IKIM diFacebook atau hubungi Unit Penerbitan institut itu di talian 03-62046250 atau 03- 62046251.
Diharap buku berkenaan akan menyedarkan umat Islam bahawa berhutang itu memang mudah tetapi untuk membayar balik adalah satu tanggungjawab cukup berat, bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Hakikat itu dipaparkan dalam hadis riwayat Muslim yang berbunyi:
''Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).''
Maksud hadis itu adalah jelas bahawa orang yang mati syahid, yang dijanji syurga oleh Allah SWT akan tertangguh urusan kemasukan ke syurga akibat hutang tidak berbayar.