Tribute To Women

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tiga dari kiri) bergambar bersama sebahagian pemenang Anugerah TTWM 2010 mengikut kategori masing-masing. .
KAUM wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Seiring peredaran zaman, kaum Hawa kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam.
Kini, pemikiran bahawa golongan wanita hanya sesuai duduk di ceruk dapur sudah lama ditinggalkan, sebaliknya mereka semakin berani mengorak langkah untuk mencapai kejayaan tersendiri.
Menyedari kepentingan wanita dalam kehidupan, Yayasan Mahkota dan MSP Communications Sdn. Bhd. akan menganjurkan program Tribute To Women Malaysia (TTWM) 2011.
Memperkasa wanita
Penerbit dan Pengarah Acara TTWM 2011, Mahani Awang berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memperkasa dan memartabatkan kaum wanita dari aspek pembangunan dan kemajuan diri, kerjaya dan peranan dalam masyarakat.
“Apa yang penting, kami mahu membantu membangun dan menjana minda, menyemarakkan semangat serta mengukuhkan kewibawaan wanita agar dapat bersaing dan menyumbang kepada pembangunan keluarga dan masyarakat.
“Selain itu, TTWM boleh dianggap sebagai tapak yang relevan untuk kempen kerajaan dan NGO yang boleh memberi manfaat kepada kaum wanita masa kini,” kata Mahani kepada Kosmo!.
Menurutnya, terdapat empat komponen utama dalam penganjuran acara TTWM 2011 iaitu seminar dan bengkel, anugerah TTWM, pameran khas serta ekspo perdagangan.
Komponen pertama yang bakal mengambil tempat dalam kalendar penganjuran acara tersebut adalah Ekspo Perdagangan dan Pameran Khas yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 Februari ini di Dewan III, Pusat Konvensyen Mid Valley, Kuala Lumpur.
“Acara ini akan dijayakan oleh peserta pameran yang terdiri daripada usahawan dan pengusaha pelbagai produk serta perkhidmatan.
Antaranya produk kecantikan, kesihatan, barangan elektrik, pelancongan, pendidikan, minuman dan makanan, perkhidmatan kewangan dan lain-lain.
“Justeru, ekspo ini boleh menjadi pusat sehenti bagi syarikat dan pengusaha produk yang menyasarkan kaum wanita sebagai pembeli di samping menggalakkan integrasi dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.
Tokoh berkaliber
Bagi pameran yang bertajuk Srikandi Mutiara Negara pula, ia akan memaparkan kisah para isteri Perdana Menteri Malaysia dan tokoh-tokoh politik wanita UMNO yang berkaliber.
“Melalui pameran ini, kita mahu masyarakat mengetahui sumbangan dan pengorbanan mereka dalam pembangunan tanah air sekali gus memberi motivasi kepada golongan wanita untuk lebih berjaya dalam kehidupan,” ungkap Mahani.
Ekspo tersebut akan dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Terdapat pelbagai bengkel dan aktiviti menarik akan diadakan sepanjang tiga hari acara itu berlangsung. Lebih istimewa, sempena Hari Wanita Sedunia yang akan disambut pada 8 Mac, setiap gerai yang mengambil bahagian akan menawarkan potongan harga minimum sebanyak 30 peratus termasuk pakej pelancongan dan insurans.
Ekspo dan pameran ini dianjurkan bersama Yayasan Mahkota dan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dengan sokongan MATRADE, Persatuan Pereka Bumiputra (BDA), Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama), Youth of Younity dan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia. Ia bermula pada pukul 10 pagi hingga 9 malam.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Sekretariat TTWM 2011 di talian 03-2282 0878 atau layari laman web tributetowomen.com.my.